Jumaat, 10 April 2020

Nasi Ayam PKP (Perintah Kawalan Pergerakkan)

10 tahun dari sekarang, saya mungkin akan menceritakan bagaimana, angan-angan dan wawasan 2020 dihadapi oleh kita semua. Di mana semua rakyat Malaysia, malahan seluruh penduduk dunia di paksa berkurung di dalam rumah disebabkan pandemik Wabak Covic-19.

Memandangkan semua orang termasuk saya dan keluarga terpaksa berkurung di dalam rumah yang rasanya sudah hampir menginjak ke 1 bulan. maka haruslah untuk kami mewujudkan hobi bagi mengurangkan kebosanan di samping mengekalkan kewarasan diri.

Salah satu hobi yang menjadi kegemaran ramai adalah mencuba resepi-resepi baru dan belajar memasak. Salah satu menu yang menjadi pilihan adalah nasi Ayam. Mudah, namun sukar menemukan selera keluarga kami.

Jadi, resepi masakan kali ini dicatatkan di sini kerana, resepi ini telah berjaya menambat hati nurani saya dan keluarga. =)

ok.. kita teruskan kepada resepi NASI AYAM PKP..

Bahan-bahan yang diperlukan

Sup Ayam

1 biji Bawang besar (dihiris)
7 ulas Bawang putih (dihiris)
2 inci Halia (dihiris)
2 kuntum Bunga Lawang
7 kuntum Bunga Cengkih
4 biji Buah Pelaga
1 batang Kulit Kayu Manis
2 sudu besar Rempah Sup (tapi sayan gantikan dengan rempah kurma.. zaman PKP kita guna ja yg mana ada)
8 ketul Ayam (terpulang kpd keperluan masing-masing)
3 liter Air (pastikan cukup untuk masak nasi)
2 ketul Kiub Ayam / serbuk perasa
sedikit daun Sup
Garam
Minyak masak 


Nasi Ayam

4 pot Beras ( dibasuh dan di toskan)
1 helai daun Pandan ( disimpulkan)
1 inchi Halia (dihiris)
1/2 Biji Bawang besar (dihiris)
3 ulas Bawang putih (dihiris)


Perapan Ayam

2 sudu besar Sos Tiram
2 sudu besar Madu
5 sudu besar kicap manis
3 sudu besar kicap masin
1 sudu kecil Lada hitam

Sos Nasi Ayam

2 biji Cili merah 
4 biji Cili padi
2 ulas Bawang putih
3 sudu Sos Cili
1/2 biji Tomato / 2 sudu Sos Tomato



Cara-cara nya....

Sup Ayam

1. Panaskan minyak masak secukupnya di dalam periuk, masukkan bawang besar, bawang putih, halia, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga dan kulit kayu manis. Tumiskan bahan-bahan tersebut sehingga layu.

2. Masukkan rempah sup dan gaulkan sehingga sebati, kemudian masukkan ayam.

3. Masukkan kiub ayam dan air secukupnya dan tunggu sup mendidih.

4. Setelah sup mendidih, perisakan dengan garam secukupnya.

5. Asingkan sup yang akan digunakan untuk masak nasi

6. Masukkan daun sup dan tutup api.

7. Asingkan ayam dengan sup.


Nasi Ayam

1. Masukkan beras yang telah ditoskan ke dalam periuk.

2. Masukkan Sup yang telah diasingkan mengikut sukatan beras, daun pandan, halia, bawang besar, dan bawang putih ke dalam periuk.

3. Masak nasi seperti biasa.


Perapan Ayam

1. Gaulkan ayam yang telah diasingkan dari sup dengan semua bahan perapan.

2. Perap ayam selama 30minit - 1 jam.

3. Goreng ayam di dalam minyak panas selama 3 minit / bakar ayam sehingga sos perapan kering.


Kicap Nasi Ayam

1. Panaskan kuali dan masukan lebihan sos perapan. (sila tambah bahan-bahan perapan jika kuntiti tidak mencukupi)

2. Masukkan 1 senduk sup ayam dan didihkan,

3. Siap dihidang.

Sos Nasi Ayam

1. Kisar kesemua bahan sos.

2. Siap dihidang.




Maka terhasillah Nasi Ayam PKP.... =]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan